24 APR 2022 – TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Pemberian Sumbangan Raya kepada Asnaf anjuran KB Soon Huat Motor Sdn. Bhd.
Kehadiran TYT Tun disambut oleh YBrs. En. William Khoo, Pengarah Urusan KB Soon Huat Motor Sdn. Bhd., YAA. Dato’ Muhamad Abdul Karim bin Wahab, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang, YBrs. Tuan Kamarul Haizal bin Koderat, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah merangkap Pengerusi Majlis Iftar 2022 “Asnaf Disantuni” dan Tn. Hj. Baderul Amin bin Abdul Hamid, Pemangku Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Majlis dimulakan dengan bacaan Quran oleh Muhammad Isma Ishtisyam bin Isharizat, Qari jemputan, diikuti dengan ucapan oleh En. Halmi bin Desa, wakil syarikat dan YBrs. Tuan Kamarul Haizal bin Koderat.
Majlis diteruskan dengan Penyampaian Sumbangan ‘Asnaf Disantuni’ oleh YBrs En. William dengan disaksikan oleh TYT Tun. TYT Tun turut menghulurkan duit raya kepada para penerima. Antara sumbangan daripada KB Soon Huat termasuk 2 buah motosikal dan basikal.
Majlis disusuli dengan Tazkirah Ramadan oleh Ustaz Haji Mohd. Lukmanul Hakim Haji Mokhtar & Bacaan Doa, diikuti dengan solat Maghrib dan jamuan berbuka puasa yang diserikan dengan persembahan nasyid Kumpulan Dzil Afnan.
Majlis diakhiri dengan solat Isyak, solat terawih dan jamuan makan moreh.
TYT Tun menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Majlis ini.