JURU, 10 Oktober 2022. KB Soon Huat Motor bersama KB Cycling Station telah bekerjasama dengan pengeluar minyak enjin terkemuka dunia iaitu Liqui Moly dan bekerja di bawah satu bumbung yang sama dalam satu acara tahunan yang diadakan semula selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Autocity Carnival bagi tahun 2022 yang telah berlangsung di sini.
Liqui Moly Asia Pacific Sdn Bhd selaku penaja utama acara ini telah turun ke utara semenanjung untuk mengenengahkan peniaga-peniaga di bawah Liqui Moly untuk memasarkan produk mereka yang direka khas untuk enjin kereta, motosikal, basikal dan juga penjagaan luaran dan dalaman kenderaan. Antara syarikat lain yang terlibat dalam acara ini adalah Akina Tyre.
Acara yang telah berlangsung selama 3 hari dari 7 hingga 9 Oktober, bermula dari jam 3 petang hingga 12 malam telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari kalangan pengunjung yang kebanyakkannya adalah peminat sukan permotoran.
“Kita telah membantu dan memberi peluang kepada para peniaga (dealer) di kawasan utara untuk memberi khidmat nasihat dan ilmu penjagaan kenderaan bermotor serta meningkatkan jualan produk peniaga itu sendiri. Jadi, secara automatik warga utara lebih dekat dengan Liqui Moly melalui peniaga yang telah berdaftar. Kami juga berharap agar dapat bekerjasama lagi dengan lebih ramai peniaga di luar sana untuk masa yang akan datang” kata Chester Lim, Ketua Jabatan Teknikal, Liqui Moly Asia Pacific (Malaysia)



















